2:01 AM -
TATABAHASA
No comments
AYAT PASIF
Saya sudah melaksanakan kerja itu semalam. (Ayat aktif= pelaku sebagai subjek)
Objek
Kerja itu sudah saya laksanakan semalam. (Ayat Pasif=objek sebagai subjek)
Subjek
Jenis-jenis Ayat Pasif
Terbahagi kepada:
1. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua.
2. Ayat pasif dengan kata ganti diri ketiga.
3. Ayat pasif berimbuhan ‘ber...- dan ‘ke-...-an’
4. Ayat pasif berimbuhan ‘ter-...’
5. Ayat pasif dengan perkataan ‘kena’ yang hadir sebelum kata kerja.
1. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua.
Kata ganti nama orang pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja pasif berimbuhan ‘di-‘. Oleh itu, kata ganti nama diri orang pertama (aku, saya, kami, kita, patik, hamba) dan kata ganti nama orang kedua (anda, awak, engkau, kamu, kalian) haruslah berada di hadapan kata kerja (tanpa imbuhan ‘di’).
Contoh:
Kerja itu sudah saya laksanakan semalam (√) – ayat pasif
Kerja itu sudah dilaksanakan oleh saya semalam. (X)
(Saya sudah melaksanakan kerja itu semalam. – ayat aktif transitif)
Rumah itu telah kami cat bersama-sama. (√)
Rumah itu telah dicat oleh kami bersama-sama. (X)
(Kami telah mengecat rumah itu bersama-sama. – ayat aktif transitif)
Cerita seram itu telah kalian dengar. (√)
Cerita seram itu telah didengar oleh kalian. (X)
(Kalian telah mendengar cerita seram itu. – ayat aktif transitif)
Hutang itu mesti engkau jelaskan esok. (√)
Hutang itu mesti dijelaskan oleh engkau esok. (X)
(Engkau mesti menjelaskan hutang itu esok.- ayat aktif transitif)
*Walau bagaimanapun, kata kerja berimbuhan ‘ter’ boleh menerima kata sendi ‘oleh’ yang diikuti kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua. Contohnya seperti ayat di bawah ini.
Meja yang besar itu terangkat oleh saya. (√)
Nota:
Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua mesti ditulis bersebelahan dengan kata kerja pasif tanpa imbuhan awalan ‘di’ (hukum aneksi persona). Kesalahan berlaku jika kata-kata lain seperti kata bantu (telah, perlu, sudah, akan dll.) disisipkan antara pelaku dengan kata kerja pasif.
Contoh:
Kereta itu awak harus pandu. (X)
Kereta itu harus awak pandu. (√)
Kerja itu kami sedang siapkan. (X)
Kerja itu sedang kami siapkan. (√)
Tuan Pengetua saya akan temui esok. (X)
Tuan Pengetua akan saya temui esok. (√)
2. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri ketiga (termasuk pelaku = kata nama khas dan kata nama am).
Kata kerjanya mengandungi imbuhan kata kerjapasif ‘di-’
Contoh:
Motosikal itu telah ditunggang oleh Rahim kelmarin. (√)
Motosikal itu telah Rahim tunggang kelmarin. (X)
Kerusi dan meja itu sudah disusun oleh murid kelas 3A pagi tadi. (√)
Kerusi dan meja itu sudah murid kelas 3A susun pagi tadi. (X)
Bola itu ditendang oleh Helmi dengan kaki kiri. (√)
Bola itu ditendang dengan kaki kiri oleh Helmi. (√)
Bola itu ditendang dengan kaki kiri Helmi. (X)
Bola itu Helmi tendang dengan kaki kiri. (X)
Nota : Kata sendi ‘oleh’ boleh digugurkan jika tidak menjejaskan makna.
Contoh:
Motosikal itu telah ditunggang Rahim kelmarin. (√)
Kerusi dan meja itu disusun pengawas sekolah pagi tadi. (√)
Perhatian : Jika kata sendi ‘oleh’ terletak jauh daripada kata kerja, maka ‘oleh’ tidak boleh digugurkan kerana akan menjejaskan makna ayat.
Contoh:
Motosikal itu telah ditunggang kelmarin oleh Rahim. (√)
Motosikal itu telah ditunggang kelmarin Rahim. (X)
3. Ayat pasif berimbuhan (ber-.., dan ke-...-an)
Contoh:
Baju Raju belum bercuci lagi (belum dicuci).
Kumisnya itu belum bercukur (belum dicukur).
Seluruh dunia kegemparan oleh serangan Amerika itu (ditimpa rasa gempar).
Rumah Pak Abu kecurian petang semalam. (ditimpa kejadian curi)
Aminah kehujanan ketika pulang dari sekolah (ditimpa hujan)
4. Ayat pasif berimbuhan ‘ter-...’
(a) sudah di-
terasing = sudah diasingkan
terhasil = sudah dihasilkan
(b) keupayaan atau kemampuan
Novel yang tebal itu tidak terbaca oleh saya.
Batu yang besar itu tidak terangkat oleh mereka.
Gunung Ledang yang terkenal dengan legendanya terdaki oleh kami.
(c) Imbuhan awalan ‘ter’ yang membawa maksud ‘tidak sengaja’ (juga digunakan dalam ayat aktif transitif)
terbawa = tidak sengaja membawa / dibawa
tersepak = tidak sengaja menyepak / disepak
tertembak = tidak sengaja menembak / ditembak
Contoh ayat: Pemburu itu tertembak rakannya sendiri (ayat aktif transitif)
Rakannya sendiri tertembak oleh pemburu itu. (ayat pasif)
5. Ayat pasif dengan perkataan ‘kena’.
Ayat pasif jenis ini mengandungi perkataan ‘kena’ di hadapan kata kerja dasar yang tidak menerima imbuhan awalan.
Contoh:
Anak ahli korporat itu kena culik.
Budak nakal itu kena rotan oleh bapanya.
Pencuri itu kena tangkap oleh polis.
Ah Chong kena kejar oleh anjing.
6. Ayat pasif yang mempunyai DUA objek
Contoh : (1) Upin membelikan Ipin sebatang pembaris (ayat aktif)
(objek tepat) (objek sipi)
(2) Upin menghadiahi Ipin sebuah buku (ayat aktif)
(objek tepat) (objek sipi)
Nota: Apabila ayat di atas dipasifkan hanya objek tepat sahaja yang bertugas sebagai subjek dalam ayat. Jika objek sipi yang dibawa ke hadapan (bertugas sebagai subjek) ayat itu dianggap tidak gramatis.
Contoh:
(1a) Ipin dibelikan sebatang pembaris oleh Upin (√)
Sebatang pembaris dibelikan kepada Ipin oleh Upin. (X)
(2a) Ipin dihadiahi sebuah buku oleh Upin. (√)
Sebuah buku dihadiahi oleh Upin kepada Ipin. (X)
0 comments:
Post a Comment