Monday, September 5, 2011

2:08 AM - No comments

KATA BANTU

Kata bantu ialah jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Kata bantu menimbulkan makna tambahan dari segi aspek waktu atau ragam dalam binaan ayat. Kata bantu dapat dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu kata bantu aspek dan kata bantu ragam.
(i) Kata bantu aspek menimbulkan suasana perbezaan masa iaitu sama ada masa lampau, masa ini (kini) atau masa hadapan. Bentuk-bentuk kata bantu aspek yang dominan dalam kalangan penutur jati bahasa Melayu ialah telah, sudah, baru, pernah, sedang, masih, akan, mula dan belum.

Masa lampau
telah
sudah
pernah
selalu

Masa ini (kini)
sedang
tengah
masih

Masa hadapan
akan
belum

Contoh ayat:
Masa lampau
1. Pekerja industri itu telah pulang ke rumah.
2. Murid-murid itu sudah bersarapan.
3. Kami pernah melawat ke Sabah.
4. Aminah selalu teringat akan gurunya yang sudah bersara itu.

Masa ini (Kini)
5. Ah Meng sedang membaca komik.
6. Mutusamy tengah menyiapkan kerja khususnya.
7. Puan Siti masih memasak di dapur.

Masa Hadapan
8. Johari akan ke Kuala Lumpur esok.
9. Baju itu belum berbasuh lagi.
Kata bantu aspek tertentu boleh hadir bersama-sama tanpa menjejaskan makna dalam binaan kata kerja. Sila lihat ayat contoh yang berikut ini.
10. belum + pernah
Muhammad Hanif belum pernah melawat ke Kuala Lumpur.
11. masih + belum
Harizah masih belum menjamah kuetiau tersebut.

Walau bagaimanapun, ada sesetengah kata bantu aspek tidak boleh hadir bersama-sama atau berderetan, malah binaan ayat yang terhasil juga tidak gramatis. Sila lihat ayat contoh yang berikut:
12. Gadis itu akan belum berumah tangga lagi. (X)
13. Banyak orang akan sedang mengikuti ulasan langsung pertandingan bola
sepak itu. (X)
14. Melissa belum akan menyiapkan tugasan sekolahnya. (X)
Ayat (12 hingga 14) di atas menyalahi rumus tatabahasa Melayu. Oleh itu, pengguna bahasa Melayu baku perlu berhati-hati dalam hal ini.

(ii) Kata bantu ragam berperanan untuk menyatakan atau menerangkan ragam atau suasana perasaan yang berhubung dengan perbuatan yang dilakukan. Bentuk kata bantu ragam yang lazim diungkapkan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu baku ialah hendak, mahu, harus, mesti, boleh, dapat, perlu, wajib, enggan dan patut.

0 comments:

Post a Comment