Sunday, September 4, 2011

Taju'l Muluk

Sinopsis

Raja Zainu’l Muluk yang memerintah Syarqastan dalam keadaan gering. Menurut nujum, penyakit baginda akan sembuh sekiranya memperoleh bunga bakawali. Keempat-empat anak baginda pergi mencari bunga bakawali, kecuali Taju’l Muluk. Sudah lama merantau, putera baginda tidak juga kembali kerana termasuk perangkap Puteri Jenuh Hati, yang pandai bermain catur menyebabkan Taju’l Muluk pergi mencari.

Taju’l Muluk bekerja dengan seorang amir dan setiap hari selama dua jam dihabiskan bermain catur. Setelah dia mahir, dia pun pergi ke mahligai Puteri Jenuh Hati untuk menyelamatkan adik-adiknya. Untuk mendapat masuk ke mahligai tersebut, Taju’l Muluk terpaksa mengaku seorang perempuan tua sebagai neneknya. Menurut nenek itu, kehebatan Puteri Jenuh Hati bermain catur kerana memelihara seekor kucing dan tikus. Sekiranya baginda hendak kalah, segera diisyaratkan kepada kucing, kemudian kucing akan menggoyangkan kepalanya, lalu padamlah pelita itu. Ketika itulah tikus akan keluar mengacau buah catur. Strategi ini digunakan menyebabkan baginda dapat mengalahkan berates-ratus orang raja.

Apabila mengetahui akan rahsia itu, Taju’l Muluk membeli seekor musang dan dajar anak musang itu. Apabila dia memetik tangan, keluarlah musang itu. Dengan menggunakan kuda dan memakai pakaian lengkap, Taju’l Muluk pergi ke mahligai Puteri Jenuh Hati. Puteri Jenuh Hati melayan kedatangan Taju’l Muluk dengan baik. Kemudian Taju’l Muluk mengajak Puteri Jenuh Hati bermain catur. Dalam pusingan pertama, Taju’l Muluk kalah. Ketika pusingan kedua, Puteri Jenuh Hati hamper kalah, lalu baginda member isyarat kepada kucing, menyebabkan pelita terpadam dengan sendirinya. Taju’l Muluk kemudian member isyarat kepada anak musangnya, lalu anak musangnya itu mengejar tikus yang hendak mengacau catur. Oleh sebab Puteri Jenuh Hati tidak dapat menipu, baginda kalah teruk di tangan Taju’l Muluk.

Setelah harta benda Puteri Jenuh Hati habis, Taju’l Muluk membuat pertaruhan dengan Puteri Jenuh Hati. Menurutnya, jika dia kalah, baginda boleh mengambil harta yang dimenanginya. Manakala, sekiranya baginda yang kalah, dia akan mengambil semula harta yang tinggal milik Puteri Jenuh Hati. Akhirnya pertandingan itu memihak kepada Taju’l Muluk. Dia kemudian menceritakan tujuan dia datang ke mahligai tersebut. Akhirnya, adik Taju’l Muluk dibebaskan.

Menurut cerita Puteri Jenuh Hati, Bakawali merupakan anak raja yang besar kerajaannya. Di dalam taman piteri itu terdapat sebuah kolam dan di tengah kolam tersebut terdapat bunga bakawali yang dicari Taju’l Muluk selama ini. Untuk mencari kekuatan, Taju’l Muluk menceritakan kisah seekor harimau dengan Brahman. Dengan semangat yang kuat, Taju’l Muluk pergi ke sempadan negeri Bakawali. Setelah melalui pelbagai cabaran, akhirnya Taju’l Muluk menemui raksasa dan dia terpaksa berbaik-baik dengan raksasa tersebut. Dengan bantuan raksasa, jin telah membawa Taju’l Muluk terbang menemui Dewi Hamalah. Taju’l Muluk menunjukkan surat yang ditulis oleh raksasa. Apabila jin itu pulang, Dewi Hamalah mengahwinkan Taju’l Muluk dengan Puteri Mahmudah.

Nilai


Antara nilai murni ialah kasih sayang, contohnya Taju’l Muluk kasih akan ayahandanya menyebabkan dia pergi merantau untuk mendapatkan bunga bakawali agar penyakit ayahandanya dapat disembuhkan.

Seterusnya baik hati, contohnya perempuan tua yang dianggap penghulu mahligai Puteri Jenuh Hati telah melayan Taju’l Muluk dengan baik dan menganggap Taju’l Muluk seperti cucunya sendiri.

Akhir sekali keberanian, contohnya Taju’l Muluk seorang yang berani, antaranya sanggup berhadapan dengan raksasa.

Pengajaran


Pengajaran daripada petikan ialah kita perlulah berkorban terhadap darah daging sendiri, contohnya Taju’l Muluk sanggup menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan saudaranya yang diculik Puteri Jenuh Hati dapat dibebaskan dan ayahandanya yang gering dapat disembuhkan.

Seterusnya kita hendaklah jujur dalam setiap tindakan, contohnya yang ditunjukkan oleh Puteri Jenuh Hati yang menggunakan tipu muslihat untuk menang dalam permainan catur janganlah diikuti.

Akhir sekali kita sewajarnya bijak menggunakan akal ketika menghadapi kecemasan, contohnya Taju’l Muluk menggunakan tipu muslihat apabila berhadapan dengan raksasa yang sebesar gunung yang mahu memakannya.

Dicatat oleh Cikgu Amin

0 comments:

Post a Comment