2:11 AM -
TATABAHASA
No comments
KATA KERJA
• Kata kerja transitif
• Kata kerja tak transitif
KATA KERJA TRANSITIF (KKT)
Kata kerja yang memerlukan objek atau penyambut yang terdiri daripada kata nama untuk melengkapkan maksud ayat.
KKT boleh dikenal pasti dengan imbuhannya iaitu:
(minum, makan) – tiada imbuhan
meN-... - (mencangkul, menebang, memukul)
meN-...-i - (menjalani, menghadiahi, menghadapi)
meN-...-kan - (melarikan, memasukkan, menjalankan)
memper-... - (memperbesar, mempercantik, mempersuami, memperisteri)
memper-...-kan - (mempertingkatkan, mempertunjukkan)
memper-...-i - (memperdengari, memperingati)
KATA KERJA TAK TRANSITIF (KKTT)
Kata kerja tak transitif (intransitif) ialah kata kerja yang sudah sempurna maknanya dan dapat berdiri sendiri dalam ayat. Oleh itu, KKTT tidak memerlukan objek atau penyambut untuk menyempurnakan maksudnya. KKTT tidak boleh dipasifkan.
KKTT boleh dikenal pasti melalui imbuhannya, contohnya adalah seperti yang di bawah ini.
• Tanpa imbuhan (pulang, pergi, duduk, mati, tidur, balik)
• meN-... (mengalir, meletup, menangis, membisu)
• ber-... (berbicara, bercadang, berbincang, berkereta)
• ter-... (terkeluar, terjatuh, terpelosok, tertarik)
• ber-...-an (berguguran, bergandingan, berkibaran, bertaburan)
• ber-...-kan (berselimutkan, bersuamikan, beristerikan, berbantalkan)
Kesalahan-kesalahan Kata Kerja.
1. Penggunaan KKT tanpa imbuhan.
Contoh ayat:
Haji Naseer sedang pandang lukisan itu (X)
Haji Naseer sedang memandang lukisan itu. (√)
2. Penggunaan kata sendi nama selepas KKT.
Contoh ayat:
Sharifah memahami akan kehendak adiknya. (X)
Sharifah memahami kehendak adiknya. (√)
3. Penggunaan Kata Adjektif selepas KKT.
Contoh ayat:
Ahmad telah menendang kuat-kuat bola itu. (X)
Ahmad telah menendang bola itu kuat-kuat. (√)
4. Penggunaan Kata sendi nama selepas KKTT
Contoh ayat:
Cik Min akan berjumpa Cikgu Zue. (X)
Cik Min akan berjumpa dengan Cikgu Zue. (√)
5. Penggunaan Kata sendi nama selepas KKTT berimbuhan ber-...-kan
Contoh ayat:
Penculik itu bersenjatakan dengan sebilah pisau. (X)
Penculik itu bersenjatakan sebilah pisau. (√)
6. Tidak meletakkan kata sendi nama selepas KKTT tanpa imbuhan.
Contoh ayat:
Ayah tidak akan pulang rumah tengah hari ini. (X)
Ayah tidak akan pulang ke rumah tengah hari ini. (√)
0 comments:
Post a Comment